Jenayah & Mahkamah

Berang kebun durian diceroboh, warga emas sembelih dan agih lembu kepada penduduk kampung

ALOR GAJAH – Seorang wanita warga emas dan menantu rakannya telah bertindak menyembelih seekor lembu ternakan milik orang lain selepas berang ia merosakkan kebun duriannya.

Susulan itu, daging lembu itu telah diagihkan kepada penduduk kampung orang asli Kubang Badak, Tebong, di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu terbongkar selepas pengadu yang juga penternak berusia 38 tahun menemui kepala lembu ternakannya yang hilang di kebun berkenaan, Jumaat lalu.

“Pengadu memberitahu seekor daripada 84 ekor lembu ternakannya telah hilang yang disyaki berlaku sekitar pukul 5.30 petang 4 Julai lalu sehingga 6.30 petang Jumaat lalu.

“Ketika sedang mencari haiwan tersebut, dia terkejut apabila menjumpai satu kepala lembu mempunyai tag bernombor dikeluarkan Jabatan Veterinar yang merupakan miliknya berada di kebun durian suspek,” katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata penternak itu kemudiannya telah pergi ke rumah pemilik kebun tersebut untuk mendapatkan penjelasan bagi kejadian itu.

Jelas beliau, wanita warga emas berusia 69 tahun itu mengaku bahawa lembu terbabit telah disembelih oleh menantu rakannya.

“Ia kerana haiwan itu telah memakan tanaman duriannya.

“Berikutan itu, pengadu telah membuat laporan polis dan kejadian itu telah menyebabkannya kerugian kira-kira RM3,000,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button