Kes Jana Wibawa: Muhyiddin puas hati, harap diberi keputusan adil
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharapkan keadilan dalam permohonannya untuk mencabar keputusan yang mengarahkan kes salah guna kuasa program Jana Wibawa yang dihadapinya dikembalikan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Presiden Bersatu itu berkata, secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan proses prosiding yang dijalankan di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.
Katanya, pasukan peguamnya yang diwakili Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Steven Suppiah Perian KC (King’s Counsel) yang baharu dilantik telah berhujah dengan tepat, sekali gus mengharapkan pertimbangan secara bijaksana daripada hakim.
“Bagi saya adalah sesuatu yang amat penting dan diharapkan dengan perjalanan sistem kehakiman berdasarkan undang-undang saya akan dapat layanan yang adil dan saksama,” katanya dalam satu sidang media di perkarangan Istana Kehakiman hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan di sini, hari ini menetapkan 20 Ogos ini sebagai tarikh keputusan sama ada membenarkan atau menolak permohonan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Ketetapan tersebut diputuskan panel lima hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, bersama-sama Datuk Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan terbabit susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan mengarahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.