Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Belanjawan 2025 fokus tingkat ‘lantai sosial’ – PM

PUTRAJAYA – Belanjawan Madani 2025 yang akan dibentang pada Oktober ini akan berpandukan pendekatan memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi meningkatkan kemudahan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaras dengan objektif Ekonomi Madani, Belanjawan Madani 2025 memberi tumpuan untuk memastikan peningkatan dan pembaharuan berterusan.

“Kita perlu meningkatkan siling ekonomi dengan memacu pertumbuhan melalui penstrukturan semula. Ini termasuk inovasi, daya saing, pendigitalan, kecerdasan buatan dan pembaharuan dalam sektor penjawat awam.

“Pendekatan lama tidak lagi mencukupi untuk mencapai dasar baru,” katanya dalam ucapan di Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Anwar juga menegaskan kepentingan untuk kerajaan menegakkan keadilan sosial dan tanpa peningkatan ‘lantai sosial’ katanya, golongan berpendapatan rendah akan terus ketinggalan.

“Kita perlu memastikan semua lapisan masyarakat termasuk penduduk desa, miskin bandar dan pedalaman dapat merasakan manfaat perubahan yang kita bawa,” katanya lagi.

Menurut Anwar, hala tuju ekonomi negara telah jelas dengan pengenalan kerangka Ekonomi Madani, pelan induk perindustrian baru, pelan peralihan tenaga dan kajian separuh penggal RMK-12 pada tahun lalu.

Anwar dalam ucapannya berkata, pencapaian ekonomi Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh S&P Global Ratings dan Fitch Ratings yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+ dengan tinjauan ‘Stabil’.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2024 adalah 4.2 peratus, meningkat daripada 3 peratus pada suku keempat 2023, menunjukkan peningkatan yang signifikan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucap tama di Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 – Ekonomi Madani – Negara Makmur, Rakyat Sejahtera, di Putrajaya hari ini.

Majlis tersebut yang turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Lim Hui Ying, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, telah melibatkan wakil daripada pelbagai agensi, persatuan dan dewan perniagaan, serta persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO).

Untuk rekod, terma ‘Menaikkan Siling’ merupakan sebahagian daripada kerangka Ekonomi Madani yang bermaksud usaha menstruktur semula ekonomi supaya negara dapat mengecapi lebih kekayaan.

“Jadi saya tentunya mulakan dengan menggesa rakan-rakan terlibat, termasuk agensi penguatkuasaan, agar lebih pantas dan berkesan tindakan.

“Penjawat awam perlu lebih efisyen, kita mahu laksanakan kenaikan gaji, tapi tak munasabah gaji naik kalau tak ada perubahan, nyata dan jelas tentang keperluan reform, pastikan efficiency, dan elak ketirisan,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap agar majlis tersebut dapat memberi ruang yang lebih luas kepada peserta untuk memberi teguran dan cadangan, agar belanjawan yang bakal dibentangkan tersebut akan bersifat lebih prihatin, memahami kehendak golongan perniagaan, serta masyarakat, persatuan-persatuan, dan akar umbi secara umum.

Show More

Related Articles

Back to top button