Jenayah & Mahkamah

2 beradik kritikal, termakan keropok mengandungi racun tikus

KULIM – Dua beradik lelaki masing-masing berusia dua dan tiga tahun kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun tikus di sini semalam.

Difahamkan, keropok itu yang tergantung pada pagar kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini diambil dan di makan mereka

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 25 tahun pada jam 11 pagi yang melihat anaknya muntah di rumah sebelum membawa kedua-dua mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan kemudian ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar kebun itu yang mengandungi racun bagi tujuan memerangkap monyet.

Katanya, kebun itu dipercayai milik penduduk berhampiran rumah dua beradik itu.

“Kedua-dua mangsa dipercayai membuka dan makan makanan ringan itu.

“Ibu mangsa kemudian melihat anak mereka muntah dan mulut berbuih di rumah pada jam 11 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azizul berkata, pegawai perubatan HK yang merawat mangsa dan mendapati kedua-dua beradik itu berada dalam keadaan kritikal kemudian merujuk mereka ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

“Pihak kini sedang mengesan pemilik kebun yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan kes itu,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button