Perdana Menteri seru rakyat hayati perjuangan Hijrah
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perjuangan untuk mencapai cita-cita yang tinggi memerlukan pengorbanan yang besar.
Anwar berkata, beliau mengambil iktibar peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan pembinaan Kota Madinah dalam perutusan sempena menyambut tahun baru Hijrah 1446.
“Perjuangan bagi meraih cita-cita yang tinggi tentunya menuntut pengorbanan.
“Tatkala kita mengenang peristiwa ulung Hijratur Rasul dan keberhasilan umat mendirikan kota Madinah, harus jua kita mengingat episod derita dan sengsara yang telah menyelubungi umat selama bertahun lamanya,” katanya dalam kenyataan di laman sosial.
Beliau mengingatkan Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya untuk bersabar dan yakin dengan janji Allah SWT.
Beliau menegaskan kekuatan rohani tersebut, akan melahirkan dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua.
“Sebuah daulah akan sentiasa dalam berkat kejayaan (falah) selagimana dipaculkan akhlak dan nilai-nilai yang mulia dalam kehidupan masyarakatnya,” tambahnya.
Dalam konteks menyambut tahun baru Hijrah, Anwar menyeru rakyat untuk memperbaharui tekad agar terus beristiqamah dalam kebaikan.
“Marilah kita bulatkan tekad untuk terus beristiqamah dalam kebaikan, berhijrah dari yang mungkar kepada yang makruf, dari kemelampauan kepada kesederhanaan, dan dari keangkuhan kepada ketawadukan dan kesyukuran,” katanya.
Perdana Menteri juga menekankan pentingnya semangat hijrah dalam kehidupan seharian, yang mana perubahan positif dan peningkatan diri menjadi fokus utama.
Beliau berharap semangat ini akan terus memacu rakyat Malaysia ke arah kejayaan dan keharmonian yang berterusan.