Jenayah & Mahkamah

Polis buru suspek pecahkan cermin 6 kereta di stesen LRT Awan Besar

KUALA LUMPUR – Pihak polis sedang memburu individu yang disyaki memecahkan cermin enam buah kereta dalam satu kejadian di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Ravindar Singh Sarban Singh berkata, pihaknya kini dalam proses menjalankan siasatan secara terperinci mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, laporan polis berhubung kes itu mula diterima sekitar pukul 9.20 pagi, Selasa lalu.

“Hasil semakan mendapati kesemua enam kereta ini diparkir pemilik kenderaan pada Isnin bermula sekitar pukul 3 petang di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar.

“Siasatan mendapati, beberapa bahagian cermin kereta dipecahkan suspek yang masih bebas sebelum disedari pemilik kenderaan pada keesokan hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi undang-undang.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Semalam, tular satu rakaman video berdurasi 47 saat di Tik Tok yang memaparkan cermin beberapa kereta pecah di kawasan kejadian.

“4/7/2024 Awan Besar LRT ‘station’, hati-hati yang bawa kereta parkir free (percuma) bukan ada jagaan ‘guard’ (pengawal keselamatan),” tulisnya di kapsyen.

Show More

Related Articles

Back to top button