Berita SemasaPolitik

Peluang kemenangan di PRK Sungai Bakap ’50-50′ – Ilham Centre

PUTRAJAYA – Ilham Centre meramalkan saingan yang sengit dengan peluang kemenangan yang sama antara Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap N20, esok.

Dalam Pola Pengundian PRK Sungai Bakap yang dikeluarkan hari ini, Ilham Centre merumuskan tiga faktor utama yang akan menjadi penentu keputusan PRK itu.

Pertama adalah kadar keluar mengundi pemilih etnik Cina, diikuti pilihan pengundi teras UMNO dan pengundi muda.

“Berasaskan dapatan-dapatan yang dihuraikan di atas, kajian ini merumuskan bahawa persaingan PRK ini kekal sengit dan marginal, kedua-dua parti PH-BN dan PN mempunyai peluang seimbang 50-50 untuk keluar sebagai pemenang pertembungan ini.

“Jika PH-BN berupaya memujuk pengundi etnik Cina untuk keluar mengundi, mereka berpotensi merampas DUN ini daripada PN jika perbezaan peratusan keluar mengundi etnik Melayu dan Cina tidak melebihi 15 peratus. Jika sebaliknya, PN akan mengekalkan status quo sebagai pemenang kerusi ini,” kata Ilham Centre.

Selain itu, kajian panel penyelidikan firma penyelidikan bebas itu mendapati gelombang hijau (PN) yang memuncak pada PRN lalu mula berkurang pada PRK ini.

“Temu bual bersama pengundi Umno menunjukkan situasi tersebut telah mula berubah sedikit. Kecenderungan mereka terhadap PN semakin tidak kuat seperti sebelumnya, namun dalam masa sama mereka tidak menunjukkan sokongan kepada PH.

“Tinjauan kami terhadap pengundi teras UMNO menunjukkan sebahagian mereka masih akan menyokong PN namun sebahagian lagi masih dalam dilema dan masih berkira-kira,” katanya.

Dalam faktor pengundi kaum Cina, Ilham Centre mendapati pola tingkah laku tidak begitu memihak kepada PH disebabkan oleh polisi ekonomi kerajaan dan prestasi kerajaan negeri khususnya berkaitan isu air dan infrastruktur.

“Sebahagian pengundi etnik Cina yang ditemui memberi isyarat untuk tidak keluar mengundi, begitu juga anak-anak mereka yang menetap di bahagian pulau juga tidak akan pulang mengundi walaupun jaraknya berdekatan sahaja,” katanya.

Bagaimanapun senario ini tidak berlaku secara blok, kerana sebahagian lagi pengundi etnik Cina dan India tetap memberi komitmen untuk keluar membuang undi.

Faktor anak muda pula mendapati mood sokongan pengundi muda masih kuat terhadap PN, namun tidak sekuat sewaktu gelombang hijau berada di puncak pada pilihan raya lalu.

Berkait isu-isu yang dihadapi kerajaan PH-BN seperti Black Rock dan subsidi diesel, Ilham Centre juga mendapati isu berkenaan tidak menjadi senjata yang kuat kepada PN untuk meraih sokongan.

Show More

Related Articles

Back to top button