Berita SemasaBisnes & Ekonomi

[VIDEO] MCMC, MIDA meterai MoU manfaatkan 5G untuk PKS, sektor vertikal

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini menjalinkan kerjasama bagi memanfaatkan teknologi 5G dalam sektor vertikal dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kerjasama itu dicapai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dengan MIDA ke arah memperkasakan teknologi 5G sekaligus memacu industri negara ke arah kemajuan berteknologi, kelestarian dan integrasi yang lebih besar dalam rangkaian nilai global.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil berkata, MoU itu menggariskan penyediaan akses teknologi dan infrastruktur 5G bagi sektor perusahaan yang sedang berkembang menuju ke arah pendigitalan.

“Dalam membangunkan ekonomi digital negara, 5G dapat membantu dari segi pemupukan keusahawanan dengan memperkasakan PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Pembangunan 5G seiring dengan matlamat kerajaan untuk melihat pertumbuhan inklusif dan memastikan digitalisasi dapat memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian MoU berkenaan di Hotel St. Regis, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz; Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; KSU MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi MIDA, Tan Sri Sulaiman Mahbob.

Fahmi berkata, secara amnya usaha itu bertujuan menyegerakan penerimaan teknologi 5G susulan siri perbincangan antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan MITI yang melihat manfaat teknologi 5G harus dioptimum dan dimaksimumkan khususnya dalam sektor industri.

“Pihak MCMC akan menyediakan bantuan dari aspek sokongan teknikal oleh MCMC manakala di pihak MIDA mereka akan mengenal pasti syarikat-syarikat yang paling berpotensi untuk memanfaatkan 5G,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata, usaha itu sekali gus menyokong misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang menggariskan empat misi merangkumi usaha memajukan kompleksiti ekonomi, mempercepat pendigitalan, mendorong pelepasan karbon sifar bersih serta menjamin sekuriti ekonomi dan keterangkuman.

Katanya, kerajaan mengharapkan lebih banyak perkongsian serupa dalam kalangan pemain industri yang berkaitan untuk terus bekerjasama bagi mempercepat lagi pembangunan 5G di negara ini.

“Kolaborasi antara agensi kerajaan, pemain industri dengan pelbagai pihak berkepentingan adalah kritikal.

“Saya berharap dengan termeterainya MoU ini akan membuka lembaran baharu kepada sektor vertikal dan PKS di negara ini agar lebih berdaya saing serta meningkatkan produktiviti dalam menguruskan perniagaan,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button