SPRM reman dua lagi suspek sindiket bawa masuk warga asing tanpa pemeriksaan
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi penguat kuasa yang berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkait rasuah membawa masuk warga asing mengikut pemeriksaan yang sepatutnya.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan sekitar pukul 6.30 pagi hari Selasa ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam dan perintah reman selama empat hari terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
“Kedua-dua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2016 dan menerima bayaran secara tunai antara RM300 hingga RM2,500 sebagai balasan untuk melepaskan warga asing masuk menggunakan modus operandi ‘counter setting’.
“Ini adalah susulan daripada lima suspek termasuk tiga penguat kuasa yang ditahan reman pada 30 Ogos lalu dan telah pun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebaik berakhir tempoh reman masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, usaha giat sedang dilakukan untuk mengesan suspek utama, Roney Irwan Mohamad Nor, 49, dengan alamat terakhir C-T02-U03, Fasa P18R13, Presint 18, 62100 Putrajaya.