Berita SemasaLuar NegaraSukan

IOC tolak khabar angin Olimpik Paris dibatalkan, ditangguhkan

PARIS – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menolak khabar angin yang mengatakan temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan dibatalkan atau ditangguhkan.

Menurut IOC, berita itu adalah sebahagian daripada kempen maklumat palsu, lapor Agensi Berita Emirates (WAM)

“Ini jelas merupakan sebahagian daripada kempen maklumat palsu yang sedang berlangsung terhadap Perancis, IOC dan presidennya serta Sukan Olimpik. Ia tidak mempunyai asas fakta sama sekali,” kata IOC dalam satu ciapan di akaun X miliknya, lewat malam tadi.

“Presiden IOC dan seluruh Gerakan Olimpik teruja menantikan aksi cemerlang Sukan Olimpik Paris 2024,” kata kenyataan itu lagi.

Pihak penganjur berkata, mereka akan menyiasat asal usul laporan itu dan Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera menolak laporan berkenaan sebagai “berita palsu yang tidak wajar” di X.

“Sukan Olimpik akan diadakan di Paris, pada tarikh yang dijadualkan. Kami telah membuat persiapan selama bertahun-tahun; ia akan membawa kegembiraan kepada seluruh dunia dan kebanggaan kepada negara kita,” katanya.

Temasya Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung pada 26 Julai ini dan penutupannya pada 11 Ogos 2024.

Show More

Related Articles

Back to top button