Luar NegaraSukan

BWF semak semula protokol bantuan kecemasan semasa perlawanan

KUALA LUMPUR – Susulan kematian tragis pemain muda China, Zhang Zhi Jie, 17, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan akan menyemak semula protokol tindak balas kecemasan mereka.

Dalam satu kenyataan, BWF menyatakan bahawa mereka akan mengkaji insiden itu secara mendalam dan menilai sama ada terdapat keperluan untuk mengubah aspek tertentu dalam garis panduan kecemasan mereka.

BWF menyifatkan kematian Zhang sebagai satu tragedi besar dan sedang menunggu laporan rasmi daripada Badminton Asia dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk menentukan sama ada prosedur rawatan yang betul telah diikuti semasa memberikan bantuan kepada Zhang ketika dia rebah di gelanggang.

Walaupun kejohanan tersebut berada di bawah bidang kuasa Badminton Asia, BWF menegaskan terdapat garis panduan perubatan dan arahan umum yang digunakan oleh badan pentadbiran lain di peringkat serantau atau kebangsaan yang menganjurkan kejohanan.

Garis panduan tersebut menyatakan bahawa doktor kejohanan, di bawah arahan pengadil, bertanggungjawab menguruskan kecemasan dalam gelanggang termasuk kes serangan jantung serta perkhidmatan perubatan yang sewajarnya.

“Namun, setiap badan pentadbiran yang terlibat bertanggungjawab memutuskan cara pelaksanaan protokol dan amalan perubatan di tempat kejohanan.

“Dalam melaksanakan garis panduan ini, adalah penting semua petugas sentiasa bersedia untuk bertindak balas terhadap keperluan intervensi perubatan dengan cepat,” menurut kenyataan itu.

BWF juga menyatakan bahawa semakan sedia ada yang dimulakan awal tahun ini untuk menilai dasar dan prosedur BWF mengenai intervensi kecemasan oleh doktor kejohanan akan mengambil kira hasil penilaian mereka serta laporan daripada Badminton Asia.

Selain itu, BWF mengucapkan takziah kepada keluarga Zhang, rakan sepasukannya, Persatuan Badminton China dan seluruh komuniti badminton negara tersebut.

Zhang, pemain perseorangan lelaki, rebah di gelanggang ketika bertanding menentang pemain Jepun, Kazuma, dalam perlawanan peringkat kumpulan di Among Rogo Sport Arena.

Show More

Related Articles

Back to top button