Berita SemasaPM X

KIGIP jadi pelengkap ekosistem industri negara

KUALA LUMPUR – Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian, Perak yang dijangka bermula pada tahun ini akan menjadi pelengkap kepada sinergi dan ekosistem industri negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan KIGIP melalui kerjasama awam swasta adalah usaha kerajaan untuk memperkukuhkan ekosistem industri di wilayah utara yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi hijau.

Jelasnya, projek itu tidak akan menjadi saingan kepada projek-projek taman perindustrian yang sedia ada seperti di Bayan Lepas, Kulim Hi-Tech Park dan Batu Kawan.

“Selepas KIGIP beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara, di mana pelabur-pelabur asing dan domestik dijangka akan berminat untuk melabur di KIGIP.

“Malah, operasi Multinational Companies (MNCs) di KIGIP juga akan berupaya untuk membina rantaian bekalan yang akan mampu menyokong perkembangan industri domestik.

“Pada masa ini kerajaan melihat sambutan pelaburan yang tinggi dalam teknologi hijau dan semikonduktor,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) tentang hala tuju KIGIP dalam meningkatkan pelaburan domestik.

Anwar berkata, KIGIP yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 1,000 ekar milik Sime Darby juga mampu menawarkan prospek kerjaya yang menarik dan berkualiti kepada bakat tempatan di kawasan sekitarnya.

“KIGIP akan menjadi salah satu hab di utara Malaysia untuk menyemai bakat dan inovasi, bersesuaian dengan lokasinya yang berdekatan dengan pelbagai institusi pendidikan dan kemahiran tinggi, institusi TVET dan Pusat Latihan Giat MARA.

“Faktor ini akan dapat memastikan bekalan graduan mahir bagi mengisi jawatan berkemahiran dan bernilai tinggi untuk KIGIP, sambil memupuk dan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan mampan untuk terus berkembang maju.

 

Show More

Related Articles

Back to top button