Kereta dihempap pokok tumbang, tiada mangsa terlibat
KOTA KINABALU – Sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan dihempap sebatang pokok tumbang dalam satu kejadian di sebuah taman perumahan berhampiran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, di sini pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, pihak bomba menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada pukul 10.47 pagi.
Sehubungan itu, seramai tujuh anggota diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (KUP), Mohd. Azlee dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergegas ke tempat kejadian.
“Setiba di lokasi tersebut lima minit kemudian, pasukan bomba mendapati tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.
“Bersama pasukan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), mereka melakukan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, operasi ditamatkan pada pukul 11.18 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain berada di sekitar lokasi kejadian.