Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kemalangan bas Genting Highlands: Syarikat pengendali beroperasi tanpa permit sah

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan maut di laluan Genting Highlands di Bentong dua hari lalu didapati beroperasi dengan permit yang sudah tamat tempoh.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, hasil semakan mendapati bas berkenaan beroperasi dalam keadaan permit yang sudah tamat tempoh pada 16 Februari lalu.

Selain itu katanya, syarikat yang mempunyai 15 permit bas pelancongan dan 18 permit bas kilang itu juga didapati melakukan kesalahan mengikut syarat permit kerana beroperasi dengan bas yang sudah berusia lebih 15 tahun.

“Ini bermaksud kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu bukan sahaja (menggunakan) pemandu yang tiada lesen, tetapi bas itu juga telah tamat tempoh permit dan melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam insiden jam 11 pagi itu, dua lelaki warga China maut, manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.

Sehubungan itu Anthony memberi jaminan tindakan yang tegas akan dikenakan kepada syarikat berkenaan.

Beliau juga telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab dengan tempoh masa tiga hari untuk memberi jawapan.

“MOT melihat insiden kemalangan ini jelas menunjukkan syarikat pengendali ini tidak mematuhi undang-undang, syarat-syarat permit mereka, membenarkan pemandu yang tidak ada lesen untuk memandu dan menggunakan bas yang sudah melebihi usia permit tersebut.

“Saya telah mengarahkan APAD mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat pengendali ini kerana ini melibatkan ketidak patuhan undang-undang yang amat jelas sekali,” katanya.

Sementara itu, APAD dalam satu kenyataan berkata, syarikat bas terbabit kemalangan berkemungkinan berdepan hukuman penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), jika didapati bersalah.

Katanya, semakan awal mendapati bas persiaran itu dilesenkan di bawah syarikat M Kumar Trans Tour Sdn Bhd dan pihaknya sedang mendapatkan laporan lengkap berkait kejadian.

“Sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan tegas sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 45 Akta 715,” menurut APAD.

APAD turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap kesalahan membabitkan pengangkutan awam darat yang dipandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button