Penolong guru besar ditemukan mati selepas hilang 13 hari
BANGKOK – Seorang penolong guru besar ditemukan meninggal dunia dalam kereta miliknya selepas pencarian selama 13 hari di bawah jambatan di Chiang Mai di sini, laporan Thethaiger.
Menurut sumber yang merupakan rakan sekerja mangsa, Ruchakorn Jaisanti, 43, berkhidmat sebagai penolong guru besar di San Pa Yang Nom School dan pemangku guru besar di Wat Chammathewi Kindergarten di Lamphun telah dilaporkan hilang sejak 16 Jun lalu.
“Hampir dua minggu ahli keluarga sangat risaukannya, kami tiada idea ke mana dia pergi atau apa yang berlaku kepadanya. Kita harap perkara ini tidak berlaku. Ruchakorn adalah seorang guru yang sangat berdedikasi dan disayangi dalam komuniti ini, kehilangannya sangat dirasai semua yang mengenalinya,” katanya kepada pengamal media.
Katanya, kehilangan beliau bersama kereta Toyota Vios berwarna perak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.
Susulan itu, pihak polis melancarkan usaha mencari termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengumpul bukti lain di sepanjang laluan yang disyaki dilalui oleh Ruchakorn.
Katanya, usaha tersebut membawa kepada penemuan kereta Toyota Vios berwarna perak di bawah jambatan Ban Chiang Khang di Chiang Mai.
“Polis turut menemui mayat Ruchakorn di dalam kenderaan itu.
“Isterinya, Tan, yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan identiti mangsa,” tambahnya lagi.
Ketika ini, polis sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan perkembangan lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa.