
PPOBM perlu RM5 juta untuk ‘Braille House’
BANGI – Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM) masih memerlukan kira-kira RM4.5 juta untuk menjayakan penubuhan Pusat Percetakan Braille bagi tujuan pembangunan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negara ini.
Presiden PPOBM, Mohammad Huzaifah Ahmad berkata, penubuhan pusat yang akan dikenali sebagai ‘Braille House’ itu diharap dapat dicapai dalam masa beberapa tahun lagi melalui penglibatan dan sumbangan pelbagai pihak.
Selain untuk tujuan percetakan bahan-bahan bacaan, beliau berharap pusat berkenaan akan berfungsi sebagai perpustakaan Braille negara untuk pembangunan litarasi Braille, termasuk dalam kalangan bukan cacat penglihatan.
“Kos untuk Braille House ini dianggarkan sebanyak RM5 juta termasuk kos pembelian sebuah bangunan di Brickfields, Kuala Lumpur.
“Pemilihan Brickfields adalah kerana ia terletak berhampiran dengan hab pengangkutan awam iaitu KL Sentral untuk memudahkan golongan OKU.
“Braille House ini juga diharap dapat dijadikan pusat rujukan untuk ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai tulisan Braille yang penting untuk pendidikan OKU penglihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam dan Anugerah PPOBM 2023 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini, kelmarin.
Majlis dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Penganjur bersama, OilyLicious Healthcare Sdn. Bhd, syarikat pengedar produk Young Living terbesar di Malaysia turut menyumbang RM200,000 kepada PPOBM.
Pengarah Urusannya, Norhidawati Abdul Aziz berkata, sumbangan itu adalah sebagai sokongan kepada pertubuhan itu untuk menjayakan program pembangunannya.
“Ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat kami untuk ‘memberi semula’ kepada masyarakat,” katanya.
Majlis diserikan dengan penyampaian anugerah kepada ikon-ikon OKU penglihatan yang mempunyai pencapaian dan sumbangan dalam masyarakat.
Sebanyak 7 kategori anugerah telah disampaikan kepada penerima iaitu;
1. Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2021 : Che Ku Nur Ain pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak yang mendapat 10A walaupun hilang 70% penglihatan beberapa bulan sebelum menduduki peperiksaan.
2. Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2021 : Niki Amirul Zimi yang memperoleh 5A dalam STPM 2021.
3. Anugerah Pencapaian Anak Seni Cemerlang : Kumpulan muzik Caliph Busker
4. Anugerah Atlet Cemerlang 2022 : Mohd Saifuddin Ishak, atlet lompat jauh paralimpik Malaysia
5. Anugerah Sukarelawati Terbilang 2023,
6. Anugerah Sukarelawan Terbilang 2023
7. Anugerah Khas Jasamu Dikenang Kategori Sukan OKU Penglihatan
Majlis makan malam yang dihadiri oleh kira-kira 400 orang tetamu itu dimeriahkan dengan persembahan Hafiz Suip, Adira dan Caliph Buskers.
Orang ramai, individu atau pihak korporat yang berminat untuk menyalurkan sumbangan kepada PPOBM boleh melayari pautan https://Launchgood.com/ppobm
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune