Berita Semasa

KADA laksana operasi pembenihan awan kedua awal Julai

Bantu naikkan paras air Sungai Kelantan

KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dijangka akan melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) fasa kedua pada awal Julai ini bagi memastikan hujan yang lebih konsisten di Kelantan.

Pengerusi KADA, Muhammad Husain berkata, keputusan itu dimuktamadkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui satu mesyuarat pada 24 Jun lepas.

Katanya, OPA fasa kedua akan dilaksanakan di kawasan tadahan hulu sungai Kelantan seperti yang telah berjaya dilakukan pada 21 hingga 23 Jun lepas.

“Saya difahamkan, OPA sebelum ini berjaya menghasilkan 10 hingga 20 milimiter hujan pada hari pertama, namun paras air sungai Kelantan kekal pada paras minimum yang (memadai) untuk membolehkan rumah pam Kemubu KADA beroperasi,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad berkata, bagi memastikan hujan yang lebih konsisten, KPKM telah memohon pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Meteorologi melaksanakan operasi fasa dua awal Julai ini mengikut kesesuaian cuaca.

Pada 19 Jun lepas, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan OPA di Kelantan pada 21 hingga 23 Jun bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya.

Show More

Related Articles

Back to top button