PM mahu dunia semarakkan semula agenda Global Selatan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru masyarakat dunia supaya kembali menyemarakkan semangat Global Selatan sekaligus membebaskan diri dari ‘mindset’ penjajah.
Beliau berkata, usaha menggerakkan semula agenda itu penting bagi semua terutama negara bukan Eropah dan Amerika Syarikat dalam keberanian bersuara menyatakan pendirian khususnya dalam membentuk masa depan yang kolektif.
“Global Selatan kini kembali. Ini menunjukkan satu langkah ke arah perspektif global yang sebenarnya, di mana pelbagai suara dan pandangan semakin diiktiraf dan dihormati.
“Kita lihat ada perubahan walaupun dalam negara Barat sendiri. Sebagai contoh, Sepanyol, Ireland dan Norway menjadi lebih tegas dan tidak lagi apolagatik dalam pendirian dalam isu global,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Agenda Global Selatan atau Global South merujuk kepada pendirian dan pendekatan negara-negara membangun di sebelah selatan hemisfera terhadap negara-negara Barat.
Anwar berkata, beliau sendiri pernah menyatakan pendapatnya kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan bersetuju untuk mengembangkan agenda itu.
“Ini menunjukkan satu langkah ke arah perspektif yang benar-benar global yang mana pelbagai suara dan sudut pandangan semakin diiktiraf dan dihormati.
“Bersama-sama, marilah kita memperjuangkan kebangkitan Global Selatan dengan memupuk dunia di mana setiap negara mempunyai tempat di meja dan suara,,” katanya.
Mengimbau semula usaha agenda Global Selatan semasa zaman Perdana Menteri China, Zhoui Enlai; Presiden Sukarno dan Perdana Menteri Tanganyika, Julius Kambarage Nyerere semasa Persidangan Bandung Asia-Afrika pada tahun 1955, Anwar mengakui mentaliti tunduk kepada penjajah masih menebal dalam kalangan negara bukan Barat.