Berita Semasa

Fahaman ‘childfree’ tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW

KUALA LUMPUR – Pasangan yang tidak mahu mempunyai anak kerana terpengaruh dengan fahaman ‘childfree’ disifatkan sebagai bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan.

Malah, pasangan yang menjadikannya sebagai gaya hidup sebegitu yang bebas daripada sebarang tanggungjawab serta menafikan fitrah manusia itu juga tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW untuk meramaikan umat Islam yang berkualiti.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini berkata, jika pasangan bersetuju untuk tidak memiliki anak tanpa sebarang sebab yang diambil kira oleh syarak seperti keinginan untuk bebas daripada sebarang tanggungjawab, maka perbuatan tersebut adalah makruh.

“Manakala, pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat selama-lamanya bahkan melakukan apa sahaja cara termasuk prosedur perubatan bagi menghilangkan kemampuan reproduksi (pemandulan kekal) dan menggugurkan kandungan tanpa pengesahan doktor perubatan dan sebab-sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka perbuatan tersebut adalah haram,” kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagaimanapun memaklumkan, pasangan yang bersetuju untuk tidak memiliki anak atas sebab kesihatan, adalah diharuskan.

“Lebih-lebih lagi jika terdapat kemudaratan dan keuzuran seperti menyebabkan kematian, menyebabkan keadaan penyakit bertambah teruk dan sebagainya, maka hukumnya adalah harus dengan syarat kaedah pencegah kehamilan tidak mendatangkan mudarat dan bertepatan dengan syarak,” katanya lagi.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memaklumkan, perkahwinan dan memiliki anak adalah suatu fitrah dan memiliki tujuan tersendiri dalam syariat.

Tambah kenyataan itu, Islam juga tidak mewajibkan pasangan memiliki anak dan juga tidak melarang untuk tidak memiliki anak.

“Berdasarkan penelitian, pada dasarnya persetujuan antara suami isteri untuk tidak memiliki anak atau ‘childfree’ adalah diharuskan sekiranya terdapat kemaslahatan khusus buat pasangan tersebut.

“Pilihan ini mestilah mendapat persetujuan bersama kerana memiliki anak merupakan hak bagi setiap individu yang berpasangan,” katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin supaya membuat perancangan keluarga bahawa kehadiran anak dalam keluarga adalah anugerah dan bukan suatu bentuk bebanan.

“Bahkan ia berpotensi menjadi sumber kelangsungan pahala buat ibu dan bapanya.

“Sebagai seorang Muslim, perkahwinan dilihat sebagai wasilah mencapai kesempurnaan agama termasuklah dalam urusan memiliki anak jika difahami dan diusahakan sebaiknya,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button