Lelaki maut kereta terbabas di Seri Manjung
MANJUNG – Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas kereta Perodua Bezza yang dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Iskandar Shah, berdekatan Bangunan Persekutuan Seri Manjung, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.10 pagi.
“Setibanya pasukan bomba mendapati kereta tersebut telah melanggar pokok di bahu jalan dan pemandu tersebut tersepit di dalam kenderaan.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota bomba itu berakhir pada pukul 2.58 pagi.