Kementerian Digital, FKPM anjur Kempen Kesedaran U-Digital
SHAH ALAM – Kementerian Digital bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) baru-baru ini menganjurkan Kempen Kesedaran U-Digital dengan tujuan mempromosikan Digital First Mindset dalam golongan muda khususnya mahasiswa.
Program selama satu hari tersebut diadakan di kampus UiTM di sini, dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik & Pengurusan) Kementerian Digital, Shakib Ahmad Shakir.
Hadir sama, Dekan FKPM, Assoc. Prof. Dr. Abd. Rasid bin Abd. Rahman, wakil pensyarah, pegawai kanan kementerian serta mahasiswa dan mahasiswi UiTM.
Bertemakan digitalisasi, program ini dilaksanakan dalam bentuk festival budaya dan perniagaan, serta dipenuhi dengan pelbagai pameran digital yang menarik, perniagaan, permainan, pertandingan dan perkongsian ilmu bersama pencipta kandungan digital terkemuka.
Selain itu program ini juga merupakan platform terbaik dalam mendedahkan konsep kerajaan digital, masyarakat digital dan ekonomi digital kepada mahasiswa di samping menggalakkan mereka untuk meneroka potensi di pasaran digital.
Di samping itu juga, program ini diharapkan dapat menggalakkan literasi digital dalam kalangan para pelajar universiti dengan memfokuskan kepada tiga elemen utama iaitu Kerajaan, Masyarakat dan Ekonomi Digital.