Jenayah & Mahkamah

Bawa 50 karton rokok tanpa kebenaran, sebuah bot penumpang ditahan

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot penumpang selepas disyaki melakukan dua kesalahan di perairan Tanjung Harapan, kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan bot penumpang itu dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Ehsan dan Op Tiris di perairan Selangor.

“Pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru bertindak mengambil 10 penumpang warga asing dari kapal dagang yang bersauh untuk dibawa ke jeti penumpang Pulau Ketam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda itu gagal mengemukakan sijil insuran yang sah dan membawa 50 karton rokok tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk rokok tanpa dokumen yang sah.

Kesemua suspek termasuk bot ditahan manakala 50 karton rokok pula dirampas sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di perairan Selangor sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button