Sukan

1,500 orang hadiri Kejohanan Sukan SMK Bandar Baru Bangi

BANGI – Seramai 1,500 orang telah menghadiri Kejohanan Sukan Sekolah anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi, semalam.

Pengetua SMK Bandar Baru Bangi, Ruslan Abdol berkata, aktiviti sukan merupakan antara salah satu perkara yang penting dalam pembangunan holistik pelajar.

“Kejohanan sukan ini bukan sahaja mencungkil bakat atletik dalam kalangan pelajar, tetapi juga memupuk semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa, yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan acara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Kejohanan Sukan SMK Bandar Baru Bangi di Stadium UKM, di sini semalam yang turut dihadiri para guru, pelajar, pihak PIBG dan ibu bapa.

Kejohanan itu turut dirasmikan oleh atlet olahraga kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli yang pernah mewakili negara di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Zaidatul Husniah dalam ucapannya menekankan kepentingan semangat kesukanan dan disiplin dalam mencapai kejayaan.

Selain itu, beliau juga berkongsi pengalaman dan inspirasi sebagai atlet negara sebagai motivasi tambahan kepada para pelajar untuk terus berusaha dalam bidang sukan.

Dalam pada itu, kejohanan kali ini menawarkan pelbagai acara balapan termasuk 100m, 200m, 400m, 4x100m, 4x400m, lepar cakera, lontar peluru, lompat tinggi, lompat jauh dan merejam lembing.

Ruslan berkata penglibatan PIBG dan ibu bapa dalam kejohanan itu memainkan peranan yang signifikan, di mana mereka bukan sahaja hadir memberikan sokongan moral tetapi juga terlibat dalam pelbagai aspek penganjuran.

Tambah beliau, selain memupuk semangat kesukanan kejohanan itu juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti sekolah secara keseluruhan.

“Kejohanan ini telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat pujian daripada semua yang terlibat.

“Semoga kejohanan sukan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, memberikan platform kepada pelajar untuk bersinar dan mengembangkan bakat mereka dalam bidang sukan sambil memperkukuh hubungan antara warga sekolah dan keluarga,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button