Euro 2024: Belgium kembali temui rentak kemenangan
BRUSSELS – Belgium kembali menemui rentak kemenangan dengan menewaskan Romania 2-0 dalam saingan Euro 2024, awal pagi tadi.
Belgium melakukan rombakan pasukan selepas kekalahan 1-0 kepada Slovakia dalam aksi pertama kejohanan ini.
Perlawanan dimulakan dengan penuh semangat oleh Belgium apabila berjaya mendahului seawal minit ke-2 hasil jaringan pemain tengah berbakat, Youri Tielemans.
Belgium mempamerkan penguasaan bola sebanyak 71 peratus dalam separuh masa pertama, dengan 10 percubaan ke arah gawang lawan namun, gagal menambah sebarang jaringan sehingga menuju ke bilik persalinan.
Pada separuh masa kedua, Belgium terus mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi mereka.
Romania walaupun ditekan hebat, mereka menunjukkan semangat juang yang luar biasa dalam penampilan mereka kali ini di pentas Kejohanan Eropah.
Romelu Lukaku sekali lagi berdepan kekecewaan apabila jaringannya dibatalkan oleh VAR buat kali ketiga berturut-turut kerana kedudukan offsaid.
Namun akhirnya, jaringan tambahan yang dinanti-nantikan akhirnya tiba menerusi Kevin de Bruyne dengan mudah menewaskan penjaga gol dalam situasi satu lawan satu.
Kemenangan 2-0 ke atas Romania memastikan Belgium naik ke tempat kedua saingan peringkat kumpulan dengan satu perlawanan terakhir bertemu Ukraine.