Berita Semasa

Talentcorp lancar Anugerah LIFE AT WORK 2024, perkenal lima kategori baharu

KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) hari ini mengumumkan pelancaran Anugerah LIFE AT WORK 2024 (LAWA 2024) bagi meraikan majikan dengan dasar tempat kerja yang terbaik selaras dengan komitmen mereka terhadap agenda Kepelbagaian, Ekuiti dan Keterangkuman (DEI).
 
Untuk memenuhi permintaan landskap yang berkembang pesat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew telah memperkenalkan lima kategori baharu Anugerah LAWA bagi mengiktiraf sumbangan luar biasa organisasi pelbagai bidang.

Katanya, Ia termasuklah amalan kemampanan alam sekitar, inovasi teknologi hijau dan teknologi untuk keterangkuman.
 
“Dengan slogan ‘Meraikan Kecemerlangan dalam DEI untuk Kelestarian Kerja, Tempat Kerja dan Tenaga Kerja’, Anugerah LAWA 2024 bukan sahaja mengiktiraf organisasi tetapi meraikan peranan penting yang dijalankan oleh pekerja dalam memacu kejayaan organisasi.

“Dengan menekankan pembangunan bakat yang mampan, TalentCorp menyasarkan untuk mewujudkan tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan inklusif serta boleh menyesuaikan diri dengan landskap kerja global yang berubah dengan pesat,” katanya.

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp bersama-sama dengan wakil daripada Pemain Industri Kementerian dan Pemenang LAWA 2023.
 
Anugerah LIFE AT WORK telah dilancarkan pada 2013 oleh TalentCorp merupakan sebuah rangka kerja anugerah DEI paling komprehensif di Malaysia dan menjadi sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk membantu majikan membuat persediaan untuk masa depan pekerjaan.

“Ia pada asalnya menampilkan tiga kategori yang mengiktiraf majikan yang mengalakkan penyertaan wanita.

“Anugerah tersebut terus diperluaskan kepada 14 kategori untuk mengiktiraf organisasi di Malaysia, organisasi antarabangsa, perusahaan kecil sederhana (PKS) dan pemilikan atau perkongsian tunggal, dan organisasi sektor awam,” ujarnya lagi.
 
Antara pemenang Anugerah LAWA pada tahun 2023 termasuklah Maybank, Yayasan Pahang, Pos Malaysia, VISTA Laser Eye Centre Sdn. Bhd., CIBA VISION Johor Sdn. Bhd., HSBC Bank Malaysia, Dexcom Malaysia Shell Malaysia dan pelbagai lagi.
 
Penyertaan Anugerah LAWA 2024 terbuka kepada semua majikan di Malaysia bermula dari 20 Jun hingga 6 September 2024.

Tempoh penjurian akan berlangsung pada Oktober ini dan pemenang akan diumumkan pada November.

Show More

Related Articles

Back to top button