PM mahu ECRL disegerakan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) mempercepatkan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Anwar berkata, projek melibatkan laluan sepanjang 665 kilometer itu sangat penting dalam memastikan pertumbuhan seimbang di antara kawasan-kawasan kurang membangun, termasuk melibatkan negeri seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu, lapor BERNAMA.
“Sebab itu saya nyatakan kepada CCCC dan MRL supaya segerakan pelaksanaan projek ini dan kita akan beri segala kerjasama supaya pesatkan pertumbuhan dan kejayaan projek ECRL.
“Kita juga minta beberapa perhatian termasuk jaminan kontraktor, perunding, pembekal dari syarikat negara dan penyertaan Bumiputera selayaknya,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak, yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang.
Anwar berkata, keseriusan kerajaan dalam mempercepat pelaksanaan projek itu, antara lain adalah bagi menjamin pembangunan lebih merata antara kawasan-kawasan kurang membangun.
“ECRL akan menjamin pertumbuhan rantau yang dianggap ‘kurang’ dari segi persaingan dan tidak punya keupayaan bersaing, melainkan kita sediakan prasarana cukup baik. Itu akan memberikan ruang supaya kita boleh menyaksikan pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri ini,” katanya.
ECRL sepanjang 665 km yang bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang akan melibatkan 20 stesen iaitu 10 stesen penumpang sahaja dan 10 lagi stesen yang menggabungkan pengangkutan barang dan penumpang.
Projek infrastruktur mega yang menjadi bukti hubungan dua hala kukuh antara Kuala Lumpur dan Beijing itu dijangka siap menjelang akhir 2026.