Berita Semasa

2.52 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya menjelang Aidiladha – LLM

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah kenderaan di lebuh raya utama meningkat sehingga 2.52 juta menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha.

Menurutnya, ia melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2.

Justeru itu, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi untuk menghentikan kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong bermula Rabu lalu hingga 19 Jun ini bagi meminimumkan kesan peningkatan trafik.

“Konsesi juga diarahkan menambah kemudahan tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa R&R, meningkatkan bilangan petugas, memastikan kecukupan bekalan air serta minyak di stesen-stesen minyak selain mengaktifkan lorong pintar di beberapa lokasi.

“Selain itu, pengoperasian lebuh raya dan semua kemudahan berfungsi dengan baik terutamanya di kawasan R&R (rehat dan rawat), hentian sebelah serta sistem kutipan tol dengan penambahan lorong sementara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Kata LLM, pengguna yang ingin merancang perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan boleh merujuk aplikasi MyPLUS-TTA oleh PLUS Berhad.

Sementara itu, bagi Lebuhraya KL-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 pula boleh merujuk cadangan waktu perjalanan (TTA) oleh pihak Anih Berhad.

“Pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya melalui media sosial rasmi LLM dan Syarikat Konsesi seperti di Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, aplikasi X @llmtrafik serta tiktok @llmtrafik.

“Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik, LLM di talian hotline 1-800-88-7752,” katanya lagi.

Tambah LLM, orang ramai boleh mendapat maklumat keadaan trafik semasa mealui paparan CCTV di semua lebuh raya dengan melayari laman sesawang LLM di pautan http://www.llm.gov.my

Show More

Related Articles

Back to top button