Berita Semasa

Raghad rayu hentikan tuduhan, sangkaan buruk terhadapnya

KUCHING – Isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib merayu kepada rakyat Sarawak agar segala tuduhan dan sangkaan buruk yang dilempar terhadapnya dihentikan.

Raghad berkata, beliau sedar tersebarnya berita mengenai insiden merlarikan Tun Abdul Taib Mahmud dari sebuah sebuah hospital pakar di sini, namun katanya, kebimbangan beliau pada masa ini hanya mengenai kesejahteraan suaminya.

“Saya dengan rendah hati memohon tolong hentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini terhadap saya kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami saya pada ketika ini,” katanya dalam satu surat terbuka awal pagi tadi.

Dalam pada itu, Raghad turut menegaskan beliau tidak akan melarikan diri dari negara ini, sebaliknya akan meneruskan kerja-kerja amal sebaik Abdul Taib kembali sihat.

“Walaupun saya adalah orang asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.

“Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat, Insya-Allah.

“Dengan ini, saya harap anda semua dapat berkumpul dan mendoakan Tun Taib. Terima kasih,” katanya lagi.

Sejak semalam, tular berita mengenai
Raghad yang didakwa telah melarikan Abdul Taib dari sebuah hospital pakar, dengan mencabut segala gajet rawatan yang dipasang ke badannya.

Turut tular, salinan laporan polis oleh pihak hospital berkenaan selain foto Abdul Taib yang sedang dirawat.

Raghad walau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa telah mendapatkan kebenaran jururawat bertugas dan telah memuat naik nota oleh jururawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.

Abdul Taib, 87, menamatkan perkhidmatannya selama 10 tahun sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan telah digantikan oleh Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Show More

Related Articles

Back to top button