PM beri jaminan siasatan rapi ke atas ahli sukan jadi mangsa jenayah
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan jaminan kerajaan akan menjalankan siasatan rapi ke atas mana-mana pihak termasuk ahli sukan yang menjadi mangsa penjenayah.
Anwar berkata, beliau mengakui terdapat insiden yang menimbulkan keresahan rakyat kerana kes jenayah yang berlaku lambat terbongkar kerana perlu memastikan siasatan dijalankan dengan teliti.
“Hukuman yang dikenakan kepada pelaku perlu berdasarkan fakta dan bukannya persepsi,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 di Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim hari ini.
Tambah beliau, siasatan yang terburu-buru akan memberi ketidakadilan sama ada kepada mangsa atau individu yang dituduh.
“Saya ingin beri jaminan insiden yang menimbulkan keresahan dibeberapa kalangan termasuk saya dan tentu saya tidak mahu umpamanya menjadi PM (Perdana Menteri) tetapi melindung penjenayah atau perasuah.
“Cuma kita harus pastikan tindakan itu profesional dan adil serta tidak menghukum sebelum ada fakta dan melihat kepada sudut undang-undang. Ini saya hendak singgung secara langsung walaupun tidak terkait dengan acara Anugerah Sukan Negara.
“Tetapi ada yang jadi mangsa juga adalah ahli sukan yang giat dalam olahraga. Jadi, jaminan ini penting supaya ada perasaan semua rakyat baik ahli sukan atau penjawat awam,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan negara ini perlu diselamatkan dan tindakan agresif polis juga perlu dipupuk dalam bidang sukan untuk membanteras rasuah seperti pihak berkuasa yang lain.