Berita Semasa

Anwar beri amaran tarik lesen pengusaha bas sekolah naik tambang

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan amaran tegas kepada pengusaha bas sekolah yang melakukan tindakan menaikkan tambang bas kepada pelajar sekolah.

Anwar berkata, tindakan tegas akan diambil terutamanya kepada mereka (pengusaha bas sekolah) yang menerima subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Kamu (pengusaha) diberi subsidi minyak dan kamu naik (tambang), kamu jaga.

“Saya tidak tahu orang lain tapi kalau saya, kalau kamu naik (tambang) juga dengan keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat kamu.

“Kalau tak anak kita di sekolah terbeban,” katanya dalam ucapan beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) bersama Perdana Menteri, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Anwar Ibrahim pada program ‘Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Bersama Perdana Menteri’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi.

Anwar juga menegaskan pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika belum menerima ‘fleet card’ di bawah SKDS.

“Melalui SKDS, ‘fleet card’ ini membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Anwar menjelaskan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel bukan satu tindakan yang mudah kerana tidak mahu membebankan rakyat.

“Saudara ingat kita dalam Jemaah Menteri senang-senang nak lakukan (penyasaran subsidi diesel), tak berhati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga barang, tidak.

“Kalau saya sendiri, puluh kali mesyuarat teliti soal (penyasaran subsidi diesel) supaya tak terbeban maka nelayan dikecualikan maka subsidi diteruskan, tak ditarik untuk nelayan, pekebun kecil dan bas sekolah,” tambahnya.

Beliau mengakui penyasaran subsidi diesel bukanlah penyelesaian sempurna dan mungkin mendatangkan sedikit sebanyak masalah dalam pelaksanaannya, Perdana Menteri meminta rakyat untuk berunding bagi memperbetulkan perkara itu.

Pada Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Show More

Related Articles

Back to top button