Berita Semasa

Kenaikan kadar cukai taksiran, MBSA terima 1,990 bantahan setakat ini

SHAH ALAM – Orang ramai masih boleh mengemukakan bantahan terhadap kadar baharu cukai taksiran kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum tempoh akhir pada 14 Jun.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, kenaikan tidak sampai 25 peratus bagi kadar baharu itu dibuat selepas 19 tahun bagi memastikan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan kepada rakyat terus efisien.

“Ada tidak bersetuju dengan kenaikan cukai taksiran tetapi sebenarnya MBSA memerlukan kewangan kukuh dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita memerlukannya (cukai). Kenaikan tidak melebihi 25 peratus daripada cukai lama tetapi kita terima bantahan dan akan panggil pemilik hartanah untuk sesi pendengaran,” katanya dalam laporan Selangorkini, hari ini.

Mohd Fauzi menambah pihaknya telah menerima 1,990 bantahan setakat ini dan menambah, pihaknya sedia bertemu pemilik harta yang membuat bantahan itu dalam sesi pendengaran khas yang akan diadakan selepas tempoh bantahan berakhir.

Kenaikan kadar itu melibatkan kediaman, perdagangan, perindustrian dan tanah kosong (pertanian), manakala rumah ibadat, sekolah dan premis awam yang bukan bermotif keuntungan menerima pengecualian.

Show More

Related Articles

Back to top button