Kematian akibat keracunan makanan, polis selesai rakam keterangan lapan individu
GOMBAK – Polis selesai merakam keterangan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung dua kes kematian berkaitan keracunan makanan yang berlaku di sebuah sekolah rendah agama, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, antara individu dirakam keterangan adalah pihak penganjur, jawatankuasa, pengetua, dan individu terlibat dalam penyediaan makanan.
Jelasnya, keterangan kesemua individu itu diambil kelmarin dan semalam.
“Setakat ini, lapan rakaman percakapan melibatkan ahli keluarga dan pembekal makanan telah dirakam.
“Mangsa lain yang mengalami keracunan makan sedang dikenal pasti untuk dirakam percakapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan sebelum ini menyebut, soerang bayi berusia dua tahun dan lelaki berusia 17 tahun maut selepas mengalami cirit-birit akibat memakan bihun dan telur yang dibawa pulang dari sebuah program sekolah rendah agama, di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima dua laporan kematian akibat kejadian tersebut kelmarin.