Wayout Solution rangkul Anugerah Company Of The Year APIUM
KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang sepanjang 11 tahun dalam bidang teknologi melayakkan syarikat Wayout Solution Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai syarikat terbaik dalam kategori teknologi bersepadu pada Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia (APIUM) 2024 baru-baru ini.
Anugerahkan Company of the Year – Integrated Technology Solution yang disandang syarikat milik Bumiputera itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakishnan kepada Pengarah Eksekutif Wayout Solution, Amir Junaidi Amerrudin.
Amir Junaidi menyifatkan pengiktirafan itu pencapaian paling bermakna hasil usaha dan kerja keras seluruh kakitangan syarikat dalam memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan.
“Pengiktirafan ini tidak akan membuatkan kami selesa, sebaliknya kami akan sentiasa meningkatkan komitmen serta menggandakan usaha agar mampu mencapai lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
APIUM diadakan sebagai pengiktirafan kepada usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sebagai dorongan kepada syarikat tempatan mencapai kecemerlangan.
Selain Wayout Solution, pelbagai lagi anugerah turut disampaikan merangkumi 22 kategori pada majlis tersebut yang dianjurkan oleh Niaga Times di bawah penerbitan PR Partners Asia Sdn Bhd dengan kerjasama The Malaysia Voice sebagai rakan media.