Berita Semasa

Kerajaan Perpaduan tidak batal pelupusan hutang Felda – Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Felda Tan Sri Idris Jusoh, dalam satu kenyataan berkata, semua peneroka yang menandatangani perjanjian itu telah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar.

Katanya, pelupusan sebahagian hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion yang selesai dilaksanakan pada tahun 2021 telah memberi impak besar kepada aliran tunai Felda.

Tambahnya, setelah menyelesaikan sebahagian hutang daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM12.1 bilion, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua.

“Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam kenyataan itu semalam.

Tambah Idris, kerajaan melalui Felda, tetap komited untuk membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan peneroka serta memastikan hutang mereka tidak terus meningkat.

“Komitmen ini terbukti apabila pada 2022, purata produktiviti ladang peneroka meningkat sehingga 19.43 tan perhektar setahun berbanding 17.29 tan perhektar setahun mewakili peningkatan lebih 12 peratus.

“Ini sekali gus akan dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada warga peneroka Felda,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button