PM X

Tidak wajar kaitkan penyarasan subsidi diesel dengan harga minyak 16 tahun lalu – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan adalah tidak wajar mengaitkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan ucapan beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), 16 tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, harga minyak negara adalah lebih tinggi berbanding negara- negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi pada ketika itu.

“Ada yang mengatakan saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun. Saya sebut itu tahun 2008 kerana harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen manakala kita RM1.80.

“Sekarang kos sudah bertambah RM2.05 di Arab Saudi dan kita RM2.95, minyak murah ini hanya di Brunei,” katanya dalam ucapan beliau pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai.

Harga runcit bahan api diesel ditetapkan pada RM3.35 seliter di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Bermula semalam, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel yang memenuhi kriteria akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama bawah inisiatif Budi Madani.

Langkah penyasaran subsidi diesel tersebut dikatakan bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja menerimanya dan pada masa yang sama menghentikan ketirisan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun kadar inflasi negara adalah yang terendah di ASEAN, ia tidak menjamin tiada kenaikkan harga barang.

“Kalau kata kadar inflasi rendah, memang rendah tapi maknanya apa? Harga barang naik sikit. Saya tidak kata barang tidak naik. Tapi kadang-kadang dalam perbincangan Anwar kata barang tidak naik. Tidak ada.

“Inflasi yang terendah di ASEAN maknanya kenaikan kecil masih berlaku,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button