Jenayah & Mahkamah

Lelaki maut dibunuh, ditemui dalam keadaan bogel

IPOH – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan bogel dipercayai dibunuh dalam satu pergaduhan di Laluan Perusahaan Klebang 1 depan sebuah kilang di Klebang di sini, tengah malam tadi.

Pihak polis menerima laporan daripada orang awam berhubung pergaduhan maut itu pada kira-kira pukul 12.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut terhadap badan mangsa mendapati kesan luka akibat tikaman pada dada, telinga dan kaki mangsa.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki itu ditemui dalam keadaan bogel di tepi jalan dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri padanya. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan luka pada bahagian dada, telinga dan kaki mangsa.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan disahkan meninggal dunia disebabkan kesan tikaman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Abang Zainal, kes diklasifikasi sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan di samping keterangan saksi yang terbabit turut akan dirakam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Norshaharah Marzuki di talian 010-3790508 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button