Berita Semasa

150 murid, guru SMK Datuk Undang Abdul Manap diberikan advokasi keselamatan dalam talian

CYBERJAYA – Seramai 150 murid dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Abdul Manap, Johol, Negeri Sembilan diberikan taklimat kesedaran tentang keselamatan dalam talian menerusi inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB).

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Program Advokasi Perlindungan Kasih Kanak-Kanak itu diadakan dengan kolaborasi bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Polis Diraja Malaysia.

“SMK Datuk Undang Abdul Manap merupakan lokasi kedua daripada 30 buah sekolah yang dikenal pasti bagi siri jelajah Program Advokasi Perlindungan Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sembilan yang telah dirancang sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir pada penganjuran program di SMK Datuk Undang Abdul Manap ini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman.

Dalam pada itu, menurut MCMC, cakna media sosial dalam kalangan kanak-kanak merupakan satu aspek penting dalam pemerkasaan literasi digital.

Pada masa sama katanya, pengalaman penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak haruslah di bawah pengawasan sewajarnya, dan semua pihak memainkan peranan penting bagi memastikan penggunaan Internet yang selamat, positif serta bertanggungjawab.

“MCMC sentiasa komited untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap
penggunaan internet yang positif, produktif dan bertanggungjawab menerusi advokasi.

“Inisiatif KDB merupakan antara kaedah mendidik masyarakat mengenai etika dan tanggungjawab dalam talian,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button