Berita Semasa

Thailand berminat pelajari pengurusan haji dari TH

MAKKAH – Pihak pengurusan jemaah haji Thailand berminat mempelajari kaedah pengurusan yang dilaksanakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut Bernama, Ketua Rombongan Haji Thailand yang juga Ketua Majlis Agama Yala, Abdul Baziz Chema berkata, Malaysia yang disifatkan sebagai ‘abang’ khususnya dalam kalangan umat Islam di Selatan Thailand mempunyai banyak pengalaman dalam mengendalikan jemaah haji yang harus dicontohi negara itu.

“TH merupakan kejayaan umat Islam di Malaysia dan menjadi kewajipan kepada kami untuk mempelajarinya. Saya sangat yakin dengan menimba pengetahuan daripada TH, insya Allah kita akan dapat menadingi perkara-perkara yang berkaitan pengurusan jemaah haji suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas mengadakan kunjungan kepada pihak pengurusan TH di Ibu Pejabat TH, di sini.

Dalam kunjungan tersebut, Abdul Baziz turut disertai 15 orang termasuk dari bahagian Majlis Agama Islam Pusat, Pejabat Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri Thailand.

Antara perkara yang ingin dipelajari termasuk sistem tabungan TH, aspek pengurusan jemaah dan lain-lain hal yang berkaitan.

Thailand tidak mempunyai satu badan khusus yang mengawal selia urusan jemaah haji, sebaliknya hal yang berkaitan diuruskan 88 agensi pelancongan dengan kos untuk mengerjakan haji sekitar RM40,000 tanpa sebarang subsidi.

Ini menyebabkan, hanya 7,000 daripada 11,000 kuota yang diperuntukkan untuk umat Islam di negara itu dipenuhi.

Sementara itu Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H-2024, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kunjungan pihak pengurusan haji Thailand berkenaan membolehkan kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan dalam soal pengurusan haji.

“Kita lihat ada ruang dan peluang untuk kita adakan kerjasama dan tukar pengalaman serta pandangan tentang urusan haji setiap negara supaya dapat dipertingkatkan prestasi dan kualiti perkhidmatan serta kemudahan yang boleh diberikan kepada jemaah haji negara masing-masing.

“Sudah tentu setiap negara mempunyai kelebihan yang boleh dipelajari dan itu yang dijadikan semangat dalam perjumpaan itu,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button