KPM laksana 50 projek pembinaan bangunan tambahan PPKI
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan 50 buah projek pembinaan bangunan tambahan di sekolah seluruh negara bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk murid pendidikan khas.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata, projek yang dijangka siap pada 2027 itu dijangka akan memberi manfaat kepada 1,925 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
“Seramai 1,925 orang Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dijangka dapat manfaat daripada projek ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024.
Sementara itu Kah Woh berkata, sebanyak 44 buah sekolah baharu akan dibina di seluruh negara mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, pembinaan tersebut akan meningkatkan jumlah bilik darjah bagi MBPK untuk PPKI.
“Ia akan memanfaatkan 1,995 orang pelajar kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Ia melibatkan 288 kelas yang mana enam bilik darjah daripada setiap sekolah untuk MBPK,” katanya.
Terdahulu, hari ini seramai 403 pelajar daripada lima buah sekolah berjaya menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024 dengan kelulusan penuh.
Katanya, kebolehpasaran MBPK di sekolah menengah pendidikan khas (SMPK) dan SMPK Vokasional adalah melebihi 95 peratus meningkat daripada sebelum ini iaitu sebanyak 83 peratus.