Berita Semasa

Hantaran disekat kerana mengandungi elemen tidak benar, mengelirukan – MCMC

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan tindakannya menyekat satu hantaran di akaun Facebook milik seorang peguam adalah disebabkan arahan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Menurut portal FMT, MCMC hari ini berkata, sekatan itu dibuat selepas mendapati kandungan dimuat naik pengguna berkenaan mengandungi elemen tidak benar dan mengelirukan, selain melanggar garis panduan komuniti Meta.

“Pemilik akaun Facebook berkenaan melalui hantaran beliau bertarikh 3 Jun memberi gambaran mengaitkan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berikutan tindakan sekatan yang dibuat.

“MCMC ingin menegaskan bahawa dakwaan pemilik akaun Facebook berkenaan adalah tidak benar. Untuk makluman, tindakan diambil berdasarkan aduan diterima dan berpandukan prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya dalam laporan FMT tersebut.

Tambahnya, tindakan itu juga diambil berdasarkan penelitian dibuat secara objektif apabila mendapati kandungan berkenaan mengandungi elemen tidak benar dan mengelirukan, selain melanggar garis panduan komuniti Meta.

“Salah satu tanggungjawab perundangan utama MCMC adalah untuk memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang perlakuan atau percubaan melakukan pelanggaran bawah undang-undang bertulis Malaysia, dan ini termasuklah menyebarkan berita palsu serta berunsur fitnah,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang peguam di Pulau Pinang menghantar surat tuntutan kepada MCMC kerana menyebabkan hantarannya di Facebook berkait Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) disekat Meta.

Shamsher Singh Thind mendakwa, hantaran yang dibuat di Facebook pada 26 Mei lalu disekat untuk pembaca Malaysia susulan permintaan daripada MCMC.

Show More

Related Articles

Back to top button