Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dua pembantu penguasa Kastam terima rasuah didakwa

KUALA TERENGGANU – Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan rasuah.

Tertuduh pertama Che Mohd Taufik Che Arif, 31, berdepan 13 pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 manakala tertuduh kedua Mohd Afiq Ikhwan Ramli, 30, mempunyai satu pertuduhan.

Menurut pertuduhan, Che Mohd didakwa menerima wang berjumlah RM3,700 dari syarikat Karlos Enterprise dan RM5,300 dari Jehatis untuk tidak memeriksa lori milik syarikat itu membawa keluar barang dari kargo KLIA.

Mohd Afiq Ikhwan pula didakwa dengan satu pertuduhan menerima RM3,500 atas kesalahan yang sama.

Kedua-dua tertuduh yang tidak mengaku bersalah itu didakwa menerima wang melalui pemindahan dalam talian ke akaun masing-masing.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi tertuduh pertama, mahkamah telah menetapkan wang jaminan sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin warganegara manakala bagi tertuduh kedua pula mahkamah telah menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara.

Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan berhubung atau menganggu saksi dan dokumen kes.

Show More

Related Articles

Back to top button