Berita Semasa

Pelajar IPT mati lemas di kolam ikan

SEGAMAT – Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) di daerah ini ditemukan lemas selepas mandi di kolam ternakan ikan di tapak perkhemahan Aminah Rahmat Agrofarm di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menimpa mangsa lelaki berusia 23 tahun itu pada jam 11.12 pagi.

Beliau berkata, mangsa bersama-sama 16 lagi rakannya sedang menyiapkan tugasan Pemasaran Digital kawasan rekreasi dengan mempromosikan lokasi berkenaan.

“Semua mereka tiba di tapak perkhemahan itu jam 6 petang semalam. Mangsa yang sepatutnya keluar dari lokasi kejadian pada jam 9 pagi ini bertindak mandi di kolam ternakan ikan pemilik tapak perkhemahan itu bersama-sama empat lagi rakannya, jam 10.30 pagi.

“Mangsa kemudian disedari lemas dan tenggelam oleh rakan-rakannya pada jam 11 pagi namun berjaya dijumpai semula 15 minit kemudian. Dia diberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Zamry berkata, mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Segamat untuk proses bedah siasat dan pihaknya akan meneruskan siasatan kejadian lemas menerusi siasatan kematian mengejut (SDR).

Show More

Related Articles

Back to top button