Lepas barang di kargo KLIA, pembantu penguasa Kastam dihadap ke mahkamah
KOTA BHARU – Dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,300.
Tertuduh pertama, Mohd Faizul Mat Nasir, 34, berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 manakala tertuduh kedua berdepan dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama.
Menurut pertuduhan, Mohd Faizul menerima suapan berjumlah RM1,1750 menerusi transaksi pada 16 Julai 2020 dari seorang individu yang mewakili syarikat forwarding sebagai balasan melepaskan barangan import dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA).
Tertuduh kedua pula dituduh menerima suapan RM2,250 menerusi dua transaksi berjumlah RM2,400 dan RM150 untuk melakukan perkara yang sama.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan dan mohon dibicarakan.
Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi tertuduh pertama manakala wang jaminan sebanyak RM 8,000 dengan seorang penjamin bagi tertuduh kedua.
Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan dan kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk berhubung atau menganggu saksi dan dokumen kes.