Hannah Yeoh alu-alukan siasatan SPRM ke atas isu libatkan suaminya
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu kontrak yang diterima suaminya daripada kerajaan Selangor.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, oleh kerana siasatan telah bermula, beliau mahu melihat kebenaran didedahkan kerana rakyat Malaysia berhak tahu mengenainya.
“(Pada masa yang sama) Tidak sesuai untuk saya memberi sebarang komen (mengenai isu ini) kerana ia mungkin akan dilihat sebagai mengganggu proses siasatan.
“Diatas sebab inilah juga saya tidak berkata apa-apa lebih awal kerana saya berpendapat cara terbaik adalah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat,” kata Hanah dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang telah menghubunginya untuk bersolidariti dengannya.
Sebelum ini, timbul kontroversi mengenai pemilihan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang diketuai suaminya, M. Ramachandran yang dilantik kerajaan Selangor untuk menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri itu.
Beberapa pihak menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya layanan utama dan konflik kepentingan dalam pemilihan firma tersebut sebagai salah satu daripada dua syarikat yang dipilih dalam projek ‘Demand-Responsive Transit’ (DRT).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika ditanya mengenai kebimbangan ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan awal pihaknya tidak menemukan sebarang kesalahan.
Bagaimanapun, SPRM difahamkan sedang menjalankan siasatan lanjut berikutan beberapa aduan baharu yang memberikan beberapa petunjuk baharu untuk diteliti.