Berita Semasa

Lelaki warga emas maut kereta bertembung lori

TENOM – Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan lori yang membawa muatan tong berisi klorin di Batu 8 Kampung Sapong, Jalan Tenom Kemabong, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 11.46 pagi dan lima anggota telah dihantar ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara yang bertembung dengan lori 10 tan membawa muatan empat tong yang mana salah satunya berisi klorin.

“Terdapat tiga mangsa terlibat terdiri daripada dua mangsa dalam Perodua Kembara. Seorang mangsa lelaki berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya memetik laporan TV3.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu masing-masing berusia 66 dan 71 tahun.

Menurutnya lagi, kemalangan tersebut turut membabitkan seorang lagi mangsa wanita yang kini telah dihantar ke Hospital Tenom akibat cedera parah.

Sementara itu, pemandu lori lelaki berusia 46 tahun yang terlibat dalam pertembungan itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 1.17 petang selepas pihaknya memastikan keadaan lokasi selamat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button