Berita SemasaUncategorized

Kerajaan terus tingkat usahasama pertahanan dengan negara anggota FPDA

KUALA LUMPUR – Malaysia komited dalam meningkatkan jalinan kerjasama pertahanan pelbagai hala dengan negara-negara anggota Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Komitmen itu dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengetuai delegasi negara ke Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) FDPA yang berlangsung di Singapura hari ini.

Usaha itu juga selaras dengan Tonggak Strategi Perkongsian Berwibawa seperti digariskan Kertas Putih Pertahanan negara yang menekankan hubungan pertahanan antarabangsa bagi memastikan keselamatan negara, kestabilan serantau dan keamanan sejagat.

“Mesyuarat kali ini membincangkan perkembangan terkini aktiviti-aktiviti di bawah FPDA termasuk eksesais Bersama Lima pada Oktober 2023 dan Bersama Shield yang telah dilaksanakan pada April 2024.

“Mesyuarat turut membincangkan hala tuju bagi meningkatkan nilai profesional eksesais FPDA,” kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan hari ini.

FDMM kali ini yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen dihadiri oleh Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles; Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins dan Ketua Delegasi United Kingdom, Paul Wyatt.

FDMM merupakan mesyuarat peringkat tertinggi FPDA yang dihoskan secara bergilir-gilir antara Malaysia dan Singapura.

FPDA yang diwujudkan sejak tahun 1971 adalah sebuah peraturan pertahanan yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom bagi membangunkan keupayaan pertahanan melalui aktiviti-aktiviti seperti seminar, lawatan, kursus dan latihan ketenteraan.

Sementara mesyuarat itu, FDMM turut melancarkan laman web rasmi FPDA yang bertujuan memberi pendedahan kepada umum mengenai sejarah penubuhan FPDA, prinsip 3R FPDA (Remit, Relevance dan Reassurance) serta aktiviti eksesais yang dilaksanakan bagi memastikan peraturan pertahanan ini menjaga sensitiviti di rantau ini.

“Menteri-menteri Pertahanan negara anggota FPDA turut membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura yang baharu, Lawrence Wong di Istana Singapura sebelum FDMM berakhir dengan rasminya,” menurut Mindef.

Penyertaan pertama Mohamed Khaled dalam mesyuarat penting itu sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan turut diiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mohamed Khalid mengetuai delegasi Malaysia bagi menyertai Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) di Singapura, hari ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button