Berita Semasa

Dasar Wanita Selangor, Pelan Tindakan 2024-2026 dilancar

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan (Care Economy) bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah melancarkan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2024-2026, hari ini.

Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, ia merupakan dasar penambahbaikan yang dilakukan bertujuan untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan dapat dicapai setelah lima tahun dasar sebelum ini dilaksanakan.

“Secara ringkasnya, hasil dari kajian penilaian Dasar Wanita Selangor 2017-2020 mendapati bahawa hanya 56 peratus dari keseluruhan pelan tindakan tersebut berjaya dilaksanakan dalam sepanjang tempoh dasar itu berkuatkuasa.

“Oleh yang demikian, proses penambahbaikan dasar sedia ada telah dilakukan bertujuan untuk menambahbaik dan mengemaskini dasar ini sejajar dengan keperluan Rancangan Selangor Pertama atau RS-1 dan Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG khususnya SDG-5,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2024 – 2026 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC), di sini.

Majlis yang bertemakan “Wanita Maju, Selangor Makmur” itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jelasnya, dasar itu menggariskan lima titik tumpuan yang menyentuh setiap aspek dan pembangunan wanita meliputi pengarusperdanaan gender dalam pembangunan; ekonomi dan kehidupan; perwakilan dan kepimpinan; keselamatan dan kesejahteraan; kreativiti dan inovasi.

Tambah beliau, kelima-lima titik tumpu itu telah menggariskan tujuh matlamat iaitu menggalakkan kerangka pembangunan yang sensitif gender; meningkatkan status sosioekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir; merapatkan jurang gender di setiap aspek pasaran buruh; mempercepat penyertaan, perwakilan dan pembuat keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita.

Matlamat lain pula termasuk meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan mobiliti wanita; menggalakkan penyediaan persekitaran selamat kepada wanita; memupuk bakat kreatif, budaya digitalisasi dan inovasi.

Dalam pada itu, WBS berkata menerusi kenyataan bahawa kerajaan negeri akan terus komited dalam usaha meningkatkan keupayaan dan sumbangan wanita untuk merealisasikan Selangor sebagai negeri pintar, berdaya huni dan Makmur.

“Sejajar dengan itu, dasar ini turut berfungsi untuk memaksimumkan potensi dan mempelbagaikan kapasiti wanita kearah kemajuan sosioekonomi yang dinamik.

“Sebarang bentuk diskriminasi dan penafian hak-hak wanita perlu dihapuskan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button