Berita Semasa

Bukan pemilik Axia lakukan aktiviti tidak bermoral di masjid, seorang pelajar kolej tampil mengaku salah

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej tampil mengaku bersalah melakukan aktiviti tidak bermoral dalam sebuah kereta Axia di sebuah masjid di sini pada 27 Mei lalu.

Menurut Masjid Gombak Utara dalam satu kenyataan, lelaki berusia 22 tahun itu tampil mengaku kesilapan itu di masjid tersebut pada petang semalam.

“Pihak masjid mendapati bahawa pelaku lelaki di dalam kereta tersebut bukanlah pemilik (pesara guru, 61 tahun) atau anak-anak pemilik tetapi, kereta tersebut dipandu oleh rakan kepada anaknya yang belajar di kolej yang berdekatan.

“Pada hari ini 30 Mei 2024 jam 4 petang, pelaku (22 tahun) tersebut telah datang ke masjid dan mengaku atas kesilapannya. Dia juga memohon maaf atas perbuatannya yang menjejaskan nama baik masjid ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini tular satu video berkenaan sebuah kereta Axia yang berada di perkarangan Masjid Gombak Utara sedang melakukan aktiviti tidak bermoral.

Video tersebut telah dirakam oleh seorang individu dan telah dimuat naik melalui pemilik FB (N**** B**) pada 29 Mei lalu.

Bagaimanapun, tular satu hantaran di media sosial apabila anak kepada pemilik kereta itu menafikan ayah mereka merupakan pelaku itu kerana kereta itu digunakan oleh adik mereka di kolej dan ketika kejadian kenderaan itu dipinjam oleh seorang rakannya.

Sementara itu pihak masjid juga menggesa supaya video tersebut diturunkan bagi mengelakkan fitnah ini berlarutan.

“Susulan kejadian ini, pemilik kenderaan dan keluarga telah diaibkan secara terbuka di media sosial (Facebook, Twitter & Tiktok) sehingga ditonton hampir ratusan ribu pengguna. Bahkan turut diancam keselamatan mereka sekeluarga.

“Kami menggesa semua pihak untuk menurunkan video tersebut bagi mengelakkan fitnah ini berlarutan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button