Pesara guru rugi RM12,700 dalam rompakan di rumah
BEAUFORT – Seorang pesara guru wanita diikat dan dirompak lelaki bertopi keledar di rumahnya di Kampung Datung Melabau, di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 2.40 pagi itu, suspek berjaya melarikan gelang emas, wang tunai bernilai RM2,300 dan dua beg tangan yang mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, mangsa berusia 58 tahun itu terkejut selepas melihat seorang lelaki yang tidak dikenali berdiri di depan pintu dapurnya ketika dia memeriksa kawasan itu.
“Mangsa cuba menutup pintu dapur tetapi suspek menolak pintu berkenaan sehingga mangsa terjatuh.
“Suspek kemudian mengikat tangan mangsa di bahagian belakang menggunakan pita Selofan warna jernih dan membawa mangsa ke dalam bilik tidur,” katanya memetik laporan TV3.
Katanya, suspek kemudian mengugut bunuh mangsa sekiranya meminta pertolongan sebelum mengambil barang berharga mangsa.
Beliau berkata jumlah kerugian dari rompakan berkenaan dianggarkan bernilai RM12,700.
Pada masa ini, suspek sedang dalam buruan polis manakala kes disiasat mengikut Sekyen 394/506 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bagi membantu siasatan.