Luar Negara

Rejim zionis cuba pecahkan Tebing Gaza

Mudahkan operasi ketenteraan di masa hadapan

DUBAI – Rejim zionis difahamkan sedang cuba memecahkan Tebing Gaza kepada beberapa poket kawasan bagi memudahkan operasi ketenteraan dilaksanakan pada masa akan datang.

Menurut pensyarah pengajian keselamatan dan ketenteraan dari Institut Doha, Omar Ashour, taktik sama telah digunakan di Tebing Barat dan terbukti berkesan dalam melemahkan puak pejuang.

“Israel dijangka akan memecahkan Tebing Gaza kepada tiga bahagian iaitu koridor Netzarim yang akan memecahkan Gaza kepada bahagian utara dan selatan.

“Pada masa yang sama, mereka dijangka akan mewujudkan koridor (keselamatan) yang memisahkan antara bahagian timur dan barat, dan mewujudkan zon penampan berkeluasan 1 kilometer di sempadan (dengan Israel),” kata Omar kepada Al-Jazeera, hari ini.

Katanya, koridor tersebut akan digunakan sebagai pangkalan tentera rejim untuk melancarkan serangan ke atas Gaza.

Jelasnya, strategi ini mengelakkan pendudukan tentera sepenuhnya tetapi akan terus menyebabkan kematian yang tinggi dalam kalangan orang awam.

“Saya berpendapat mereka (rejim zionis) akan terus berpangkalan di sana untuk jangka masa panjang dan terus melakukan serbuan, taktik sama seperti yang dilihat di Jabaliya sekarang.

“Mereka (rejim zionis) pergi ke sana, melemahkan keupayaan pihak yang dilihat sebagai ancaman, dan pada masa yang sama mengorbankan ramai penduduk awam. Mereka akan terus mengulangi taktik sebegini,” kata Omar lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button